#KalimahALLAH: Anwar Lebih Sayangkan DAP, Persetan Akidah Umat Islam


Sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini masih belum menyatakan pendiriannya berhubung keputusan Majlis Syura Ulama PAS bersabit isu kalimah Allah akan memakan diri.

Menurut penganalisis politik, Professor Madya Dr Ismail Sualman, tindakan Anwar itu menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai pendirian yang tetap.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terpaksa menyembunyikan pendiriannya demi menjaga hati rakan kompenan dominannya, DAP.

“Anwar Ibrahim telah ‘dibius’..telah dibius mulutnya oleh DAP supaya tidak bercakap. Kerana dia tahu selama ini mereka telah buat ‘rawatan’ yang cukup cantik kononnya, tapi disaat-saat akhir bila dibius, terpaksalah diam.

“Kalau dia (Anwar) bercakap sekarang, untuk mempertahankan agama dia akan menyokong kepada PAS dan itu nampak sangat wujud perselisihan dalam Pakatan. Jadi jalan terakhir ialah diam adalah lebih baik. Tapi sebenarnya diam itu juga akan memakan dirinya kerana dia tidak menyatakan itu dan dia tidak konsisten dari segi pendiriannya,” kata Ismail ketika dihubungi Antarapos.

Tambah beliau, sekiranya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu benar-benar seorang yang berpendirian dalam politik, pastinya beliau akan mempertahankan pegangannya bermati-matian disamping mengekalkan hubungan baik dengan rakan kompenannya yang lain.

Tetapi ia tidak berlaku dan sebaliknya Pakatan dilihat lebih selesa untuk menyembunyikan isu-isu yang membelenggu mereka.

“Kalau orang yang ada pendirian dalam politik, apa pun dia akan mempertahankan keadaan ini. Tetapi ibarat kata bila sudah sampai kepada keluarga sendiri, mereka akan menyimpannya di bawah karpet..tapi percayalah lama-kelamaan karpet itu akan menimbun dan orang akan tahu juga rahsia-rahsianya,” ujar pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia ini.



Anwar semalam pada sidang medianya enggan menjawab persoalan sama ada beliau bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS bersabit larangan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Menurutnya, Pakatan tetap memegang perakuan 8 Januari oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kalimah itu boleh digunakan oleh bukan Muslim asalkan ia tidak menghina Islam dan mendakwa anggapan bahawa beliau menolak keputusan Majlis Syura itu adalah fitnah media kawalan Umno.

“Ini mainan media..saya tak pernah kata tidak setuju. Tetapi media Umno memutar-belitkan (kata saya) tidak setuju kemudian tanya Mursyidul Am (Datuk Nik Aziz Nik Mat), Anwar tidak setuju..saya tidak pernah (tidak setuju)..

“Saya kata, Pakatan Rakyat berpandu kepada kenyataan Presiden PAS yang dibentang dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat. Kenyataan Majlis Syura merujuk kepada memberikan laluan penggunaan dengan beberapa syarat, tidak dibentangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat. Saya hanya mengikut keputusan dan memperakui kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS," katanya pada sidang medianya semalam.

Ismail juga mempersoalkan pemimpin PAS yang dilihat tidak bersungguh-sungguh mempertahankan keputusan yang dibuat badan tertinggi dalam parti Islam itu.

“Apabila isu itu terkena kepada Pakatan mereka ambil enteng..tetapi kalaulah isu itu Umno buat, mereka akan serang habis-habisan. Kenapa mereka tidak serang kawan mereka? Itu persoalan yang kita tanya.

“Kenapa mereka tidak membetulkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pakatan dan DAP khususnya yang nampaknya bukan sahaja menyinggung, malahan amat bersalahan dan kalau kita cakap dalam Islamnya, inilah kafir harbi yang betul-betul nampaknya menjadi musuh kepada Islam,” tegas beliau.

Ismail berkata beliau percaya PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat suatu hari nanti berdasarkan layanan dan kedudukan yang diberikan kepada parti itu oleh DAP dan PKR.

“Saya percaya satu hari nanti mungkin PAS akan keluar dari Pakatan dan ini juga satu senario baru..kalau betul PAS ini perjuangkan Islam, dia tidak kisahlah samada esok pilihan raya pun mereka buat (tinggalkan Pakatan)..

“Tetapi nampaknya PAS tetap mempertahankan banyak isu-isu demi untuk menjaga Putrajaya..seolah-olah mereka sudah hampir dengan Putrajaya,” ujar beliau. -antarapos
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger