Perbahasan #Belanjawan2013 - Kecoh Isu 'Darjat' @KhairyKj & @AnwarIbrahim


Kalau nak kira benda ini kecil punya hal dan tidak perlu dijadikan isu langsung. Namun pembangkang tetap pembangkang. Siapa sangka mereka cukup sensitif pasal 'darjat'.

Maka hari pertama perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat,Isnin sudah 'meletup'.

Ini gara-gara kemarahan beberapa ahli parlimen pembangkang yang tidak puashati keputusan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar masa berbahas selama dua jam yakni sama masa diperuntukkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen PKR Subang dan Batu, R.Sivarasa dan Tian Chua mempertikai keputusan Pandikar Amin kerana dakwa mereka, tidak patut Khairy, ahli parlimen Rembau disamakan taraf dengan Ketua Pembangkang tersebut.

Kekecohan tercetus kira-kira jam 3 petang sebaik sahaja Anwar selesai membahaskan sebagai pembahas pertama bajet itu yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Terdahulu, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar diberikan masa dua jam berbahas.

Pandikar Amin memberi laluan kepada Khairy yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) berbahas.

Katanya, Khairy diberikan masa sama dengan Anwar.

Tindakan itu sekaligus mengundang rasa marah dan tidak puashati beberapa ahli parlimen pembangkang terutama Sivarasa dan Tian Chua lantas mereka terus berdiri mempertikai keputusan Speaker sekaligus menganggu Khairy yang mahu memulakan perbahasannya.

Pada satu ketika, Pandikar Amin mengetuk tukul ke meja beberapa kali meminta Sivarasa berhenti mempertikai keputusannya membenarkan Khairy berbahas sama masa dengan Anwar.

Dalam penjelasannya, beliau berkata, penyokong kerajaan berhak berbahas dan tidak semestinya Ketua Pembangkang berbahas (dua jam), penyokong kerajaan seperti itu juga panjangnya (masa).

Katanya, tidak salah beliau membuat perbandingan itu dengan memberikan penyokong kerajaan sama masa seperti diberikan kepada Ketua Pembangkang.

Sivarasa yang masih tidak puashati terus berdiri berhujah menyatakan tidak puashati kerana Pandikar Amin menyamakan taraf Ketua Pembangkang dengan ahli parlimen biasa.

“Mana ada amalan di parlimen lain, mereka samakan status Ketua Pembangkang dengan ahli parlimen lain,” katanya.

Mendengar hujah pemimpin PKR itu yang enggan memetahui arahan supaya duduk, Speaker semakin angin.

“Tak apa..tak apa, sebab yang behormat terlampau bijaksana, terpaksa saya dengar...teruskan...teruskan!,” katanya sinis.

Sivarasa terus ‘membebel’ hingga memaksa ahli parlimen BN Sri Gading Mohamad Aziz bangun dan meminta Pandikar Amin jangan melayan karenah pembangkang.

Melihat keadaan tidak terkawal, Pandikar Amin mengetuk tukul ke meja berkali-kali dan meminta beberapa ahli parlimen yang bangun bertegang leher isu itu ‘duduk’.

“Duduk Yang Behormat Subang..duduk dulu Yang Behormat ,” tegasnya beberapa kali menyebabkan Sivarasa dan Mohamad duduk.

“Ahli-ahli yang behormat, bilangan sebelah kerajaan ramai dan bukan semua dapat bercakap. Daripada mula saya jadi speaker Dewan Rakyat, saya cuba bersikap adil. Belum pernah dibuat, selepas kerajaan... pembangkang, kerajaan... pembangkang (bergilir berbahas). “ “Kalau pun ada saya cakap Rembau (Khairy) ada sama masa (dengan Anwar), ianya benda yang kecil dan remeh temeh. Saya dah beri laluan seluas mungkin. Kalau sudah beri betis, jangan nak peha, kalau kena peha, jangan nak pijak kepala,” kata Pandikar Amin menyelar sikap Sivarasa yang tidak mematuhi arahan duduk.

“Sila Rembau. Kita sudah bazirkan masa,” katanya meminta Khairy meneruskan perbahasan setelah kekecohan selama 10 minit gara-gara Anwar disamakan dengan Ketua Pemuda UMNO itu.

Khairy antara lain dalam perbahasan membidas Anwar yang dalam perbahasannya ‘angkut bakul sendiri’ memuji kononnya kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah lebih baik dalam urus tadbir ekonomi hingga dapat rrzab yang banyak berbanding kerajaan Pusat Barisan Nasional.

“Apa guna dabik dada kata rezab tinggi tetapi tidak dapat tunai janji,” sindis beliau merujuk kegagalan kerajaan PKR Selangor dan kerajaan DAP Pulau Pinang menunaikan janji ketika kempen PRU ke 12 dahulu.

Tambahnya lagi, kerajaan Pusat masih membantu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor kerana itu tanggungjawab dan tidak mahu rakyat negeri terbabit ketinggalan pembangunan.

Beberapa ahli parlimen pembangkang antaranya Datuk Mahfuz Omar, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli bergilir bangun mencelah menganggu ucapan Khairy terutama selepas beliau menangkis hujah Anwar berdasar fakta dan angka.

Pada satu ketika, ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bangun mencelah dan berkata, “ Dia orang (pembangkang) pedih dengar angka disebut-sebut,”.

Apapun, perbahasan Khairy nyata lebih menarik berbanding ucapan Anwar selama dua jam yang ‘kosong’ melainkan menghentam Bajet 2013 yang dibentang Najib.

Hanya ahli parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan bangun ‘melayan’ Anwar manakala ahli parlimen lain ‘malas’ hendak melayan Ketua Pembangkang itu.

Ini yang dikatakan membuatkan Anwar kurang steam dan mati akal. -agendadaily
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger