Perlekeh Kekalahan LCW - DAP Terpaksa Cover Kebodohan ADUNnya~!!


Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menegaskan jawatankuasa parti akan mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan kerana memperlekeh kekalahan pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012 malam Ahad lalu.

Menurut Tan, walaupun Manoharan telah membuat permohonan maaf secara terbuka namun ia masih tidak memadai kerana beliau telah mengguris hati banyak pihak terutamanya pemain badminton nombor satu negara itu.
"Perkara ini akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Tertinggi DAP apabila kita bermesyuarat kelak, kita akan membincangkan tindakan yang selanjutnya. Setakat ini YB (Manoharan) sudah memohon maaf dan jawatankuasa akan berbincang sama ada permohonan maaf itu cukup atau tidak.

"Dia tak faham apa semangat kesukanan, kalau tak faham baik diamlah," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Bagaimanapun, apa yang ditegaskan oleh Tan itu berbeza dengan kenyataan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke yang mencadangkan bahawa tiada keperluan untuk parti mengambil sebarang tindakan ke atas ahli DAP itu kerana telah memohon maaf secara terbuka.

Malah, tindakan Manoharan itu turut dipertahankan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng apabila menyifatkan ia sebagai kenyataan peribadi.

Justeru Tan menyifatkan tindakan Manoharan itu sebagai tidak wajar kerana menang kalah sudah menjadi adat sebuah pertandingan.



"Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegini, kerana bagi setiap warga negara Malaysia itu sudah cukup jika beliau (LCW) sudah berikhtiar dengan sedaya upayanya. Jangan kita harap kita akan menang setiap kali bertanding, orang lain juga nak menang."

Isnin lalu, rakyat Malaysia bersatu hati melahirkan perasaan marah dan mengecam Manoharan kerana mempersenda Lee.

Pelbagai reaksi diluahkan menerusi kenyataan media, laman web, Facebook dan Twitter dengan melabel Manoharan sebagai biadab, celupar, rasis dan cetek akal kerana memperkecilkan semangat Lee berikutan kalah kepada Lin Dan pada pertandingan akhir menentukan pingat emas badminton Sukan Olimpik di London.

Manoharan dilihat mula menulis kenyataan-kenyataan di Twitter sejurus selepas Chong Wei tewas dengan mengatakan "Lin Dan telah menang dan dia bermain lebih baik daripada Lee Chong AWAY...".

Lebih menyentuh perasaan orang ramai apabila Lee turut meminta maaf di Twitternya kerana tewas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyelar tindakan Manoharan yang didakwa mempolitikkan kekalahan tipis Lee di tangan Lin Dan walaupun kenyataan yang dibuat menerusi laman blog mikro itu bersifat peribadi.

Turut berkongsi pandangan yang sama ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyifatkan Manoharan sebagai terlalu taksub dengan politik.

“Kenyataan seperti itu tidak wajar dan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana pada saya itulah kalau terlalu taksub pasal politik.

“Sepatutnya beliau (Manoharan) lebih terbuka mengenai perkara itu dan tidak mencampuradukkan antara politik dan sukan,” katanya. -AP
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger