Pakar Perlembagaan Setuju Hudud Dilaksanakan Tanpa Alasan Seperti Nik Aziz...


Pakar perlembagaan yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Abdul Aziz Bari hari ini tampil bersetuju dengan kenyataan Datuk Hassan Ali yang menyatakan hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.


Abdul Aziz dalam temubual menerusi telefon bersama Antarapos berkata, walaupun memerlukan pindaan dalam beberapa akta terutama peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Mahkamah Syariah 1965, keputusan pelaksanaan hukum Islam itu lebih kepada tekad dan kemahuan politik parti pemerintah.

"Walaupun Umno takut kepada MCA apabila bercakap tentang hudud, namun adalah perkembangan yang baik apabila peringkat akar umbi Umno mula memperkatakan tentang pelaksanaan hukum hudud ini," katanya sebagai mengulas perkembangan terbaru mengenai isu hudud di negara ini.

Semalam, Hasan Ali dipetik sebagai berkata, hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan sejajar dengan peletakan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang memberi penafsiran meluas kepada pelaksanaan hukum hudud.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, mereka yang bukan beragama Islam tidak perlu takut dan risau kerana Islam adalah agama yang seadil-adilnya yang sentiasa menjaga hak penganut agama yang lain," kata beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Presiden NGO Jalur Tiga (JATI).

Bulan lalu, ADUN Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat mencetuskan kontroversi apabila mahu Johor menjadi negeri pertama yang melaksanakan hukum hudud di negara ini sehingga memaksa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membidas Ayub sebagai "hilang akal".

Walau bagaimanapun, saranan Ayub itu mendapat sokongan peribadi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan hari ini, Pergerakan Wanita Umno di kawasan yang dikuasai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi kumpulan pertama dari Pulau Pinang yang menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ketua Wanita Umno Kepala Batas, Zabariah Wahab dilaporkan berkata, usul yang dibawanya itu diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat perwakilan pergerakan wanita bahagian tersebut pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz menambah, Pakatan Rakyat (PR) boleh melaksanakan hukum hudud jika berjaya menawan Putrajaya selepas ini dengan meminda beberapa akta dan memperkasakan sistem kehakiman syariah tanpa perlu meminda Perlembagaan.

Sementara itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, pelaksanaan hukum hudud bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan pindaan dalam banyak perkara selain memerlukan kajian yang cukup mendalam.

"Apa yang pasti, undang-undang negeri adalah tidak sah jika ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kata beliau yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), semua pihak perlu mengetahui isi kandungan undang-undang baru yang bakal digubal untuk menentukan ianya sejajar dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Abu Talib itu disokong oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang yang mengatakan kajian yang cukup mendalam perlu dibuat sebelum pelaksanaan hukum hudud kerana melibatkan banyak pihak, akta dan sebagainya.

"Bagi saya tidak boleh kepada akan melibatkan perubahan dalam senarai Perlembagaan Persekutuan," jelasnya lagi. -antarapos
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger