Azmin Ali Kata Dia Sepatutnya Ditahan BPR (SPRM) 17 Tahun Lalu!


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya sekiranya beliau didapati terlibat dalam dakwaan rasuah 17 tahun lalu.

Selain itu Mohamed Azmin turut menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan kes pemilikan hartanya itu dibuat atas pertimbangan politik.

"Apa jua tindakan yang perlu diambil, ia patut dibuat 17 tahun lalu. Bukan sekarang selepas 17 tahun...ini semua sebab pilihan raya sudah dekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Shafee Yahaya yang mengakui mengesyorkan supaya mengambil tindakan disiplin terhadapnya, Mohamed Azmin berkata: "Kalau betul ada tindakan yang perlu diambil sama ada untuk didakwa di mahkamah atau diambil tindakan disiplin, patut dibuat 17 tahun lalu...mengapa hari ini?"

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu belum dipanggil SPRM bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Baru-baru ini Panel Penilaian Operasi mengarahkan SPRM meneruskan siasatan kes pemilikan harta Mohamed Azmin berikutan maklumat tambahan yang didedahkan dalam media selain pendedahan tambahan kes tersebut pada tahun 2009.

SPRM juga perlu menyiasat semua pihak yang terlibat dalam kes itu termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika kes itu dibuka pada 1995 memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sebelum ini tampil sekali lagi mendedahkan bahawa Anwar mengarahkan pegawai kanan BPR menutup kes rasuah membabitkan Mohamed Azmin.

Dakwa Raja Petra, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan oleh bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Mohamed Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya sebagai penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh isteri Mohamed Azmin, Shamsidar Taharin bernilai lebih RM7 juta.

Menurut dokumen sulit tersebut, satu arahan bertulis, KUS atau kemas untuk simpan telah dikemukakan kepada pegawai kanan BPR terbabit.

Shafee juga sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau mengaku pernah mengesyorkan kepada Anwar supaya mengambil tindakan disiplin terhadap Azmin.

Dalam kenyataan itu, Shafee memaklumkan kepada akhbar tersebut, cadangan tindakan disiplin itu dikemukakan selepas siasatan rasuah dijalankan terhadap Azmin.

Shafee bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada cadangan itu diterima atau tidak namun menyangkal pernah mengarahkan pegawai penyiasat (IO) menghentikan siasatan separuh jalan sambil menegaskan setiap siasatan BPR perlu diselesaikan oleh IO melainkan mendapat arahan sebaliknya.

Beliau turut menafikan bertindak di luar bidang kuasa atau mengarahkan IO menutup fail siasatan rasuah membabitkan Azmin pada tahun 1995.

Shafee turut menegaskan kepada akhbar itu bahawa tiada bukti menunjukkan beliau memberi arahan kepada IO supaya menghentikan siasatan sambil menjelaskan terdapat tiga tindakan boleh diambil dalam setiap siasatan.

Katanya, pertama ialah pendakwaan disusuli tindakan disiplin. Kedua, jika individu terbabit ialah penjawat awam dan tiada elemen rasuah tetapi wujud keadaan yang mana seseorang itu mempunyai banyak hutang atau hidup melebihi kemampuan, tindakan disiplin boleh diambil.

Ketiga, katanya adalah pilihan terakhir yang mana siasatan itu ditutup jika tiada kes untuk dijawab. -mStar
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger