[Video] Tiada Sebab Pertikai Fatwa #Bersih Haram - Hasan Ali


Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, setiap fatwa yang dikeluarkan telah dikaji secara mendalam dan ia tidak harus menjadi pertikaian.

Beliau mengulas keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kelmarin yang memutuskan adalah haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dalam negara yang disifatkan beliau sebagai sesuatu yang serius.

"Kedua fatwa yang dikeluarkan, siapa yang menganjurkan BERSIH ini? Dan apa tujuan mereka menganjurkan ini? Saya ingat bukan atas satu isu sebegitu rangkaian-rangkaian ini dan saya fikir fatwa pun sudah mengkaji rangkaian-rangkaian tersebut.

"Bukan hanya satu isu, satu pendapat, satu demonstrasi, satu kumpulan itu, ia adalah satu siri rangkaian yang sama ada antara mereka, peringkat antarabangsa dan sama ada sebagaimana yang kita tahu orang-orang tersebut didatangkan juga ketika BERSIH hari itu," katanya.

Menurut Hasan, pengerusi jawatankuasa berkenaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin sebelum ini turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius bersabit isu umat Islam yang turun merusuh di ibu negara pada 28 April lalu.

"Bagi saya BERSIH kalau tujuan asalnya adalah untuk membersihkan PRU, saya rasa siapa sahaja akan suka untuk membersihkan PRU sebagai sesuatu yang telus.

"Tetapi bila sampai ke lapangan lain pula macam tu, merdekakan Dataran Merdeka, jadi yang mana satu kita hendak pegang? Tujuan asalnya sudah hilang, tujuan yang hanya menggunakan satu bentuk revolusi mini itu diketengahkan, saya rasa itu sudah menggugat perkataan haram atau tidak haram, betul atau tidak betul, kita lakukan tugas tersebut," katanya.


Panel jawatankuasa tersebut yang dianggotai 24 ahli termasuk 14 mufti yang mewakili setiap negeri menegaskan, penyertaan dalam demonstrasi tersebut adalah haram dan bertentangan dengan pandangan majoriti ahli sunah wal jamaah yang menjadi panduan umat Islam di negara ini.

Malah Hasan turut menzahirkan fatwa tersebut seharusnya dipatuhi oleh mereka yang beragama Islam.

"Fatwa ini bukan sebarang-sebarang...saya sebagai bekas Exco kerajaan negeri Selangor, saya ketahui sangat apa yang dilakukan oleh Mufti Selangor dengan Majlis Fatwa Negeri Selangor.

"Satu-satu fatwa yang hendak disebutkan itu saya tidak tahu berapa kitab mereka rujuk, berapa ulamak mereka rujuk, berapa pandangan mereka rujuk, berapa input yang mereka dapat untuk keluarkan satu-satu fatwa, jadi bukan satu fatwa itu dikeluarkan dengan sekelip mata," katanya. -antarapos
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger