Siti Nurhaliza Turut Sedih Dengan Kematian Dirang...



Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut berasa sedih dan simpati dengan kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang yang dibakar selepas dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu.
Siti berkata, walaupun beliau tidak memiliki cahaya mata tetapi nalurinya sebagai seorang wanita turut tersentuh memikirkan perasaan keluarga kanak-kanak malang itu menghadapi ujian yang menimpa apabila insan tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa.
"Sejak berita kehilangan Dirang tersebar di akhbar saya sentiasa mengikuti perkembangan berita itu dan amat terkejut apabila pihak polis mengesahkan mayat yang dijumpai adalah Dirang.
"Ia adalah saat menyedihkan bukan sahaja saya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang memikirkan bagaimana seorang manusia berakal dapat melakukan perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tersebut," ujarnya kepada mStar Online.
Siti ditemui selepas menjadi tetamu segmen Ceria Pagi di Suria di studio Suria FM di sini pada Khamis bagi mempromosikan single terbarunya, Remember You yang dimuatkan dalam album Inggeris pertama milik beliau berjudul All Your Love.
Dalam lagu tersebut Siti turut berduet dengan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston.
Pada 8 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat Seri Alam di Johor Bahru adalah Dirang selepas hasil ujian DNA dijalankan terhadap mayat berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia mengesahkannya.
Allahyarham Nurul Nadirah atau Dirang
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari Rabu.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin supaya pihak berkenaan dapat didakwa dan diberi hukuman setimpal dengan perbuatannya.
Menurut Siti, perbuatan yang dilakukan terhadap Dirang adalah cukup kejam dan tidak berperikemanusiaan dan patut diberi hukuman setimpal.
"Apa yang dilakukan oleh penjenayah itu kepada Dirang adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal dan ia cukup menyedihkan mengetahui ada manusia sanggup membakar seorang kanak-kanak yang hanya berusia lima tahun," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Siti berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan mengambil kejadian ngeri itu sebagai pengajaran.
Ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan pihak lain menjaga keselamatan anak-anak mereka sebaliknya mereka sendiri perlu memberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.
"Ibu bapa tidak boleh leka dengan membiarkan anak-anak mereka keluar bersendirian ke tempat awam dan perlu memastikan mereka mempunyai kawalan daripada orang dewasa jika hendak ke mana-mana.
"Ini kerana jika berlaku apa-apa kita tidak boleh nak menyalahkan orang lain jadi kesedaran pada diri sendiri perlu ada," katanya.
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger