Ancaman Bom - Pejabat BN Kedah Diarah Tingkat Kawalan!!


Semua pejabat Barisan Nasional (BN) dan UMNO di negeri ini diarah meningkatkan kawalan keselamatan masing-masing ekoran ancaman panggilan bom terhadap Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata kelmarin.

AHMAD Bashah Md. Hanipah (dua dari kiri) menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM500 kepada seorang warga emas di Kompleks Serbaguna Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, semalam. Turut hadir, Chor Chee Heung (kiri). – BERNAMA

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, meskipun panggilan berkenaan adalah palsu, langkah berwaspada masih perlu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau yang juga ADUN Bakar Bata berkata, langkah meningkatkan kawalan keselamatan itu jika perlu termasuklah meletakkan pengawal keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV).


“Walaupun ia panggilan palsu, kita tidak boleh pandang remeh ancaman itu. Oleh itu segala aspek keselamatan mesti dipertingkatkan,” katanya selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Mu’adzam Shah di sini hari ini.

Seramai 500 orang menerima wang BR1M sebanyak RM500 seorang yang disumbangkan kerajaan Pusat pada majlis berkenaan. Hadir sama Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Dalam kejadian petang kelmarin, Pusat Khidmat ADUN Bakar Bata menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa terdapat bom di bawah pentas di bahagian belakang pejabat itu.

Pemeriksaan polis bagaimanapun mendapati tiada sebarang bahan berbahaya ditemui dan panggilan itu disahkan sebagai palsu.

Ahmad Bashah berharap polis dapat mengesan dan menahan lelaki yang membuat panggilan itu kerana tindakannya yang tidak bertanggungjawab mengganggu ketenteraman petugas di pusat khidmat berkenaan.

Mengenai tindakan sekumpulan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India yang membantah kehadiran pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sebuah kuil di Sungai Petani bulan depan, beliau berkata, pengerusi kuil tersebut harus mendengar bantahan berkenaan.

Menurut beliau, apabila wujud bantahan sedemikian, ia menggambarkan kedatangan Anwar tidak dialu-alukan, malah imej pemimpin pembangkang itu yang kini dipertikaikan tidak membawa sebarang kepentingan kepada penduduk Kedah.

“Langkah terbaik bagi mengelakkan bantahan yang lebih besar adalah penganjur yang mahu mengadakan ceramah umum di kuil berkenaan membatalkan sahaja jemputan itu,” katanya. -UM
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger