57 Keluarga Mogok Lapar - Tuntut Janji PKR Selangor!


Sebanyak 57 keluarga di Kampung Bunga Raya dekat sini mengadakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap Kerajaan Negeri Selangor kerana gagal mengotakan janji pilihan raya umum lepas, untuk menyediakan rumah baru kepada mereka.

Mogok lapar yang bermula seawal 9.00 pagi itu disertai lebih 100 orang bagi mendesak untuk bertemu pegawai kanan kerajaan negeri dan pusat bagi menyelesaikan isu yang berlarutan sejak hampir empat tahun tersebut.

Difahamkan, Ahli Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasah sebelum ini berjanji kepada setiap keluarga untuk mendapatkan mereka rumah baru di Jalan Pluto menjelang 2010.

"Kami diberitahu akan dapat menyambut Deepavali di rumah baru kami pada 2010, tapi itu tinggal mimpi...tiada apa yang dilakukan setakat ini. Itu cuma janji kosong Sivarasah.

"Projek perumahan yang bermula 2008 telah terbengkalai sehingga sekarang," kata Naib Presiden Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia, R. Balan di sini.

Keluarga terbabit mengakhiri mogok lapar mereka kira-kira 4.30 petang dengan ketibaan Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Jaras Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafei Abdullah yang berjanji untuk membantu.

Turut menemui keluarga terbabit Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Balan berkata pemaju pertama projek perumahan itu diisytihar bankrap dan melarikan diri, manakala pemaju kedua pula menipu dengan menggunakan campuran 'polisterin' untuk membina dinding rumah, menyebabkan penduduk membantah.

"Halangan terbabit menyebabkan sesetengah daripada kami berhenti membayar balik pinjaman menyebabkan kami disenarai hitam oleh bank," katanya menambah mereka telah membuat laporan polis terhadap pemaju dan juga Anggota Parlimen Subang, namun tidak ada tindakan diambil.

Ketua kampung S. Perumah, 62, pula berharap kerajaan persekutuan akan membantu mereka memandangkan semua keluarga terbabit telah hidup dalam keadaan bekalan air dan elektrik yang tidak sempurna sejak 18 tahun lalu.

"Kami perlukan penyelesaian segera kerana kerajaan negeri tidak membantu kami. Kami mahu kerajaan pusat membantu," katanya. -AP
Share this post :

Catat Ulasan

JENDELA POP MINGGUAN

JENDELA POP BULANAN

LIVE STREAMING

JENDELA TERKINI

 
JENDELA MAYA : xxx | xxx | xxx
Copyright © 2011. ::: jendela maya ::: - All Rights Reserved
Created by Maya Izureen Malek xxxxxx
Proudly powered by Blogger